ALOR SETAR: Seramai 2,886 wanita di negeri ini telah menerima manfaat Tabung Usahawan Wanita Sejahtera (TUWS) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,443,000.
Jumlah berkenaan bermula dari tahun 2020 hingga 2024, tidak termasuk pada 2019 sebanyak 1,912 penerima dengan peruntukan RM956,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad menjawab demikian pada sesi soalan lisan, Sidang DUN Kedah, di sini hari ini.
“TUWS ini memberi fokus kepada golongan wanita yang memerlukan bantuan kewangan dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menambah pendapatan keluarga,” jelasnya.
Menurut beliau, sumbangan TUWS bernilai maksimum RM500 secara sekali gus (one-off) kepada penerima yang memenuhi syarat dan kriteria telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Shamsilah Siru (PN-Ayer Hangat) yang mohon penjelasan berkenaan tabung berkenaan.
“Penerima yang memenuhi kriteria akan dipilih di 36 DUN melalui 12 daerah di seluruh Negeri Kedah. Walau bagaimanapun, jumlah peruntukkan TUWS setiap tahun telah ditetapkan.
“(Ia) tertakluk kepada pengumuman serta keputusan yang telah dipersetujui di dalam Sidang Bajet Negeri Kedah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/11/2024