Petugas MySalam wajar diserap ke jawatan tetap

Kalam Salan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Status petugas kontrak MySalam perlu diperbaiki serta memastikan skim itu diteruskan demi kebaikan rakyat, khususnya golongan B40.

- Advertisement -

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam), menyarankan kerajaan menamatkan status kontrak petugas MySalam yang telah berkhidmat lebih lima tahun tanpa SOCSO dan KWSP.

Walau bagaimanapun, beliau mencadangkan penyerapan mereka ke jawatan tetap di bawah Kementerian Kesihatan bagi menjamin masa depan mereka.

“Gaji mereka dibayar oleh kerajaan tetapi claim perubatan ini dibayar oleh syarikat-syarikat insurans yang terlibat menyumbang kepada tabung amanah tadi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan Dua pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam jawapannya memberitahu, kerajaan komited memastikan skim MySalam terus memberi manfaat kepada golongan B40 dengan melibatkan sembilan juta penerima STR sehingga hujung tahun 2025.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan sedang berusaha memanjangkan skim ini dua tahun lagi bagi memastikan perlindungan berterusan.

Amir Hamzah berkata, bagi petugas MySalam, kerajaan menyokong usaha penambahbaikan elaun dan program peningkatan kemahiran untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap pada masa depan.

Kalam dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan rancangan jangka panjang untuk skim perlindungan kesihatan sosial (MySalam) dari segi jaminan untuk terus kekal dinikmati oleh B40 dan kebajikan kakitangannya yang banyak membantu golongan ini berurusan dengan pihak hospital. – HARAKAHDAILY 26/11/2024