KOTA BHARU: Kriteria Bandar Bahagia mengambil kira konteks pekerjaan, pengangkutan, keagamaan, politik dan tempat tinggal, termasuk kesejahteraan masyarakat setempat.
Tiada unsur rasuah antara enam komponen pengukuran bandar bahagia selain pendapatan, kesihatan dan rasa bebas membuat keputusan sehingga membolehkan Bandar Jeli dinobatkan Bandar Paling Bahagia sebanyak empat kali.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, Bandar Bahagia turut mengambil kira konteks pekerjaan, pengangkutan, keagamaan, politik dan tempat tinggal.
Beliau memberitahu, sebelum ini Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai turut diiktiraf sebagai Bandar Bahagia kerana berjaya memenuhi indikator yang ditetapkan di peringkat dunia itu.
“Indikator peringkat dunia tidak menilai jumlah pembangunan atau tempat hiburan untuk diiktiraf sebagai sebuah bandar bahagia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai kriteria pemilihan sebuah Bandar Bahagia ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Selain itu, Hilmi memaklumkan bagi lima markah keseluruhan, Kelantan memperoleh 4.31 untuk alam sekitar, 4.26 untuk perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kediaman 4.34.
Beliau sebelum itu menjawab pertanyaan Bahari Mohamad Nor (PAS-Gual Ipoh) yang ingin mengetahui mengenai Majlis Daerah yang melaksanakan Bandar Berkembar.
Jelas Hilmi, setakat ini, hanya satu PBT sahaja yang melaksanakan program tersebut iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama Kasaoka City di Jepun. – HARAKAHDAILY 26/11/2024