KUALA LUMPUR: Kepentingan memastikan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia perlu digagaskan meskipun negara sudah merdeka sejak enam dekad lalu.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) akur bahawa kementerian memiliki garis panduan yang jelas mengenai isu berkenaan, namun beliau mengingatkan bahawa perpaduan merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dijaga oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Bagaimanakah pihak kementerian khususnya Kementerian Perpaduan melihat dari sudut pelaksanaan di bawah supaya rakyat Malaysia dan warganegara betul-betul menghayati semangat Rukun Negara yang kita pun di awal sesi kita baca ikrar ini di dewan yang mulia ini.
“Apakah ada usaha bagi mempertingkatkan lagi penghayatan semua lapisan rakyat supaya bangsa negara ini dapat menjadi warganegara yang setia dan dapat menjaga keharmonian perpaduan kaum dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Sarawathy Kandasami berkata, kementerian dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa berusaha untuk memastikan Rukun Negara dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Penghayatan Rukun Negara bukan sahaja di peringkat pelajar, tetapi juga dalam semua aspek kehidupan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024