Pelbagai inisiatif bantu anak Kedah dapat kerja

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah khusus untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan memberi lebih peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

- Advertisement -

Antaranya menerusi penganjuran program Karnival Kerjaya dengan kerjasama PERKESO bagi penawaran peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Tzen menjawab soalan Ahmad Sulaiman (PN-Belantik), pada Sidang DUN Kedah, hari ini.

Belantik pada sesi itu bertanya langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, sebaliknya memberi peluang kerja kepada warga tempatan.

Tambah Wong, program karnival kerjaya yang diadakan membantu penduduk tempatan mengenal pasti pekerja yang bersesuaian atau melakukan pemadanan kerja (job matching) dengan kelayakan mereka.

“Berdasarkan statistik dari tempoh Januari sehingga 31 Oktober 2024, PERKESO Kedah telah melaksanakan sebanyak 275 program Karnival Kerjaya termasuk sesi temuduga harian dan mingguan di seluruh negeri.

“(Dan) berjaya menarik seramai 13,809 pencari kerja tempatan dan daripada jumlah itu, 4,627 orang telah berjaya mendapatkan pekerjaan. Manakala 2,225 orang lagi telah berjaya melangkah ke temuduga peringkat seterusnya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga tidak mengabaikan golongan kurang upaya (OKU), bekas banduan, pesara dan warga emas untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji dengan nilai yang lebih tinggi.

Melalui program Daya Kerjaya yang juga insentif serta kerjasama PERKESO ujarnya, bukan sahaja menyarankan majikan mengambil  golongan sasaran itu sebagai pekerja, malah turut menyediakan penempatan pekerja.

Selain itu tambah beliau, program Latihan dan Pendidikan Teknikal Kerajaan Negeri juga diadakan dengan kerjasama institusi pendidikan, seperti Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMs), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan lain-lain.

“Kerjasama itu untuk menyediakan latihan teknikal dan vokasional bagi rakyat tempatan bagi membolehkan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sektor industri seperti perkilangan, teknologi, pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan lain-lain,” maklum beliau. – HARAKAHDAILY 26/11/2024