Lulus RUU Hiburan selepas pindaan terakhir 26 tahun lalu

Sidang DUN Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan, petang tadi.

- Advertisement -

RUU itu diluluskan di hadapan Timbalan Speaker DUN, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi selepas dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah pada kali ketiga.

Hilmi ketika membentangkan RUU itu memberitahu, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 digubal dan diluluskan pada 8 November 1998 bagi menggantikan Ordinan Panggung Wayang dan Tempat-Tempat Hiburan 1955.

Katanya, Enakmen berkenaan berkuat kuasa pada 15 Jun 1999 melalui suatu pemberitahuan yang disiarkan dalam warta pada 10 Jun 1999.

Bagaimanapun jelas beliau, sejak pemakaian dan penguatkuasaan enakmen ini, tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan sehingga kini.

“Memandangkan sudah 26 tahun enakmen ini diguna dengan tiada sebarang pindaan seiring perubahan semasa, terdapat banyak kelompongan yang menimbulkan kesulitan dalam pelaksanaannya,” katanya.

Hilmi memaklumkan, penting bagi Kerajaan Negeri menggubal dan menguatkuasakan satu undang-undang negeri yang berteraskan syariat Islam khusus bagi mengawal pelesenan hiburan dan tempat-tempat hiburan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

“Enakmen baharu itu mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan yang efektif.

“Dalam pada itu, kerajaan konsisten dengan pendirian untuk tidak membenarkan pembukaan pawagam di Kelantan kerana kemudaratan yang dikhuatiri lebih besar berbanding manfaatnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hilmi turut menyeru penggiat seni tempatan agar terus memelihara hiburan tradisional yang diwarisi, tanpa mencampur aduk dengan elemen bertentangan agama dan undang-undang.

Sementara itu, Rozi Muhamad (PAS-Tendong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong RUU itu menegaskan setiap tindakan kerajaan dibuat melalui rundingan dan perbincangan.

“Kesalahan dalam penganjuran program hiburan perlu dipertanggungjawabkan kepada penganjur, bukan kepada kerajaan yang melaksanakan undang-undang,” tegasnya.

Ini kerana katanya, Kerajaan Negeri telah mengadakan garis panduan tertentu yang mesti dipatuhi. – HARAKAHDAILY 26/11/2024