KUALA LUMPUR: Kurikulum sedia ada dilihat kurang berkesan dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sehingga wujudnya masalah kesihatan mental di kalangan remaja.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mencadangkan agar dasar pendidikan negara berteraskan al-Quran dan as-Sunnah untuk memperkukuh penghayatan hidup beragama.
“Apakah perancangan kementerian untuk jangka masa panjang supaya dapat melahirkan generasi dengan penghayatan hidup beragama supaya kurikulum kita menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai dasar pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pembangunan kurikulum adalah suatu proses yang dinamik dan akan sentiasa disemak semula untuk memastikan ia relevan dengan keperluan semasa.
Kata beliau, KPM kini sedang memuktamadkan Kurikulum Persekolahan 2027, yang menekankan keseimbangan antara akademik, kokurikulum, dan nilai-nilai murni.
“Kita hendak melahirkan anak-anak kita yang seimbang bukan sahaja dari segi akademik dan juga kokurikulum tetapi apa yang penting juga untuk pihak KPM mampu untuk melahirkan anak-anak kita yang mampu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat apabila mereka selesai pembelajaran kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024