KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi kini dalam proses untuk menyediakan satu modul Pembangunan Insan Bertani Satu Ibadah.
Pengerusinya, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu bakal menerapkan elemen ketakwaan kepada penerima skim beras al it’aam dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2011.
“Kita sekarang ini sedang menyediakan satu modul Pembangunan Insan Bertani Satu Ibadah yang akan diterapkan kepada penerima skim ini melalui Pusat Khidmat DUN seluruh negeri.
“Ini supaya penerima skim ini dapat menjadi seorang insan bertakwa, selain berhasrat untuk menambah jumlah penerima skim dari kalangan orang asal secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd Fauzi bertanya kepada kerajaan negeri mengenai perancangan bagi menambah baik skim membabitkan bantuan beras, minyak dan gula, yang bakal dilaksanakan menjelang tahun 2025.
Terdahulu dalam sesi soal jawab, Mohd Fauzi yang juga Timbalan Yang Dipetua PAS Kawasan Kuala Krai meminta kerajaan menyatakan hasrat untuk menambah bilangan penerima skim tersebut.
Tuan Saripudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising menjelaskan kerajaan negeri telah melaksanakan tiga kali usaha itu pada 2011 melibatkan 180 penerima, 2012 (250) dan 2020 (300).
“Skim ini kekal relevan dengan pemberian beras, gula dan minyak masak, walaupun sering mengalami gangguan bekalan akibat kenaikan harga dan kekurangan di pasaran, kita tetap berusaha skim ini dijayakan.
“Justeru kajian lanjutan akan dibuat sekiranya berlaku pertambahan belanjawan kesan pertambahan peserta dan alternatif bekalan, insya-Allah jika kita keluarkan beras sendiri, bekalan akan terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024