KOTA BHARU: Kelantan merangka empat modul bagi melaksanakan program Komuniti Rabbani (K-Rabb) bagi mencapai objektif dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya berhasrat memupuk tiga tonggak dalam dasar itu, ubudiyah, masuliyah dan itqan dalam kehidupan harian rakyat.
“Jadi untuk memahamkan konsep ini kepada rakyat, alhamdulillah kepada penjawat awam sentiasa ada program menjelaskannya, tetapi kepada rakyat keseluruhan 1.9 juta rakyat perlu ada juga.
“Bagaimana kita nak memahamkan mereka juga tentang konsep ini, sebab itu kerajaan satu lagi memperkenalkan apa yang dipanggil program K-Rabb mempunyai empat modul pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Abdul Hadi meminta kerajaan negeri menyatakan sejauh mana pelaksanaan program K-Rabb yang dilancarkan telah pada September 2022 dalam usaha mencapai objektif dasar PMBI.
Mohamed Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, program tersebut dirangka melalui perkongsian idea bersama ahli akademik, pegawai kerajaan dan ahli politik
Tambahnya, negeri juga membangunkan sekumpulan jurulatih sebagai pengerak utama dari agensi kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan urus setia kerajaan negeri.
Selain itu, ujarnya K-Rabb turut diperkenalkan kepada kepimpinan masyarakat dari seluruh jajahan di negeri itu malah sebanyak 16 siri kursus komuniti membabitkan 650 peserta telah diadakan.
Menurut beliau sebanyak 135 siri ceramah K-Rabb diadakan diperingkat komuniti diadakan dalam tiga lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih bagi memupuk penghayatan K-Rabb peringkat akar umbi. – HARAKAHDAILY 26/11/2024