KOTA BHARU: Kerajaan negeri mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mengatasi konflik antara manusia dan haiwan liar.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani masalah tersebut.
Selain itu katanya sebuah tabung khas diwujudkan bagi memastikan syarikat yang terlibat dengan pembangunan di kawasan hutan menyumbang kepada tabung terbabit.
“Melalui tabung itu dapat diwujudkan koridor gajah di kawasan yang akan dikenal pasti antaranya Kuala Balah, Jeli.
“Lagi pun usaha untuk memindah gajah perlu kos kira-kira RM50,000. Ini antara cadangan bagi menangani konflik manusia dan haiwan liar,” katanya pada sidang DUN semalam.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri menyambut ulangtahun ke-34 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dengan mengekalkan negeri sifar rasuah.
Katanya sehingga sekarang tidak ada kes rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri dan pegawai.
“Kalau pegawai dan kakitangan awam tidak faham dasar tersebut sudah tentu kita tidak akan capai sifar rasuah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024