Geran hakmilik: Perlu bayar premium tanah dulu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang telah menerima 1,042 permohonan tanah iaitu untuk melibatkan 437 lot rumah dan 605 lot kebun oleh peneroka FELDA Chiku 1 di daerah tersebut.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud  berkata, tanah tersebut yang melibatkan 2,309.94 hektar itu bagaimanapun hanya dibayar deposit permohonan sahaja.

“Permohonan tersebut telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa
Negeri sebelum ini, namun peneroka masih belum membayar premium tanah tersebut, hanya bayar deposit permohonan.

“Melalui Notis 5A yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah,
premium hendaklah dibayar dalam tempoh 4 bulan dari tarikh
Notis 5A,” katanya ketika menggulung perbahasan dalam persidangan DUN Kelantan.

Semalam, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mendakwa Kerajaan Negeri sebagai gagal memenuhi hasrat peneroka terbabit untuk memiliki geran tanah.

Menurutnya lagi, kegagalan membayar premium akan menyebabkan kelulusan pemberi milikan akan luput seterusnya merumitkan urusan peneroka yang mengharapkan untuk mendapat geran tanah.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pejabat tanah terbabit 
terpaksa membuat kerja yang sama berulang kali dalam usaha
memberi hakmilik kepada peneroka.

“Bagi mengatasi masaalah itu, pejabat tanah akan mengeluarkan geran hakmilik kepada peneroka dalam masa 21 hari dari tarikh pembayaran premium dibuat.

“Galas disarankan membuat penyelarasan agar premium dapat
dibayar oleh peneroka atau pihak FELDA mendahulukan wang
pembayaran premium bagi pihak peneroka,” jelas Nassuruddin.

Menurut Menteri Besar lagi, begitu juga tunggakan premium sejumlah lebih RM23.4 juta oleh FELDA, KESEDAR dan FELCRA yang telah disebutkan dalam soalan tambahan pada hari pertama persidangan baru-baru ini.

Tambahnya, premium dari agensi terbabit perlu dijelaskan oleh agensi-agensi tersebut bagi memastikan rakyat mendapat geran hakmilik tanah. – HARAKAHDAILY 26/11/2024