Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan jadi ikutan

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sudah ada pihak berkuasa negeri yang menyatakan hasrat untuk mencontohi pendekatan Kelantan khususnya dalam pembangunan sektor pendidikan agama seperti Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK).

- Advertisement -

Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan tidak mendedahkan kerajaan negeri mana yang mahu mengambil dasar tersebut untuk diimplementasikan di negeri dengan sedikit pengubahsuaian.

Beliau berkata, selepas kejayaan ditempa dibawah DPRK, kerajaan negeri melancarkan Komuniti Rabbani (K-Rabb) menerapkan tiga elemen, ubudiyah, masuliyah dan itqan kepada rakyat diperingkat akar umbi.

“Ini mempunyai jangka masa panjang tetapi kearah itu kita nak bagi contoh terbaik kepada orang lain, inshallah apabila rakyat dapat melihat kejayaan K-Rabb dengan sendiri mereka akan cari kita.

“Banyak benda yang kita buat dalam DPRK ini, sudah ada yang datang, sudah ada yang menyatakan bahawa boleh tak kami nak bawa dasar pendidikan dengan sedikit modifikasi untuk sekolah dalam negeri kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Harun Ismail (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Harun meminta kerajaan negeri menyatakan cadangan untuk menjadi program K-Rabb yang dilancarkan kerajaan negeri pada September 2022, supaya menjadi model dicontohi kepada negeri-negeri lain.

Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan turut menaruh harapan yang tinggi pelaksanaan K-Rabb dapat melahirkan rakyat dengan budi pekerti tinggi, akhlak dan sahsiah baik.

“Sebab itu saya nak menyeru rakyat, kita kerajaan negeri berbangga anak Kelantan kalau mereka dapat memberi contoh yang baik kepada orang lain walaupun duduk di mana sahaja dalam dan luar negeri.

“Ia menjadi contoh kepada orang lain, kita tidak bangga sekiranya anak Kelantan ini menjadi sebutan dengan keburukan tetapi menjadi sebutan dengan kebaikan itu kebanggaan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024