Belanjawan 2025 Kelantan diluluskan sebulat suara

17 anggota dewan ambil bahagian berbahas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah sebulat suara meluluskan Belanjawan 2025 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

- Advertisement -

Belanjawan yang bertemakan ‘Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri’ dibentangkan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Khamis lepas. 

Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion itu.

Melalui sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Nassuruddin berkata, beberapa perkara utama dibangkitkan ADUN dan sudah dijawab dalam penggulungan.

Katanya, antara isu yang dibangkitkan berkaitan FELDA, pengurangan peruntukan pembangunan, tunggakan cukai tanah dan sistem e-tanah dan berbagai lagi.

“Saya mengajak kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil peluang memperkukuhkan kerjasama dalam meletakkan Islam sebagai solusi di bawah fasa pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih pada semua ADUN-ADUN khususnya yang mengambil bahagian dalam sidang tersebut.

Ustaz Nassuruddin dalam pada itu menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan yang baru, Ir Dr Siti Fairus Zakaria di pejabatnya ketika sesi rehat persidangan.

Kunjungan berkenaan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan JPS setelah Dr Siti Fairus memulakan tugasnya sebagai Pengarah JPS Kelantan berkuatkuasa pada 30 Oktober lalu.

Beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan berharap JPS Kelantan terus komited melaksanakan agenda pembangunan negeri, khususnya berkaitan pengurusan sumber air dan mitigasi banjir.

“Insya-Allah, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JPS akan diteruskan demi manfaat rakyat Kelantan,” tulisnya di Facebook hari ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2024