BEIRUT: Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon berkata, Israel akan mengekalkan keupayaan untuk menyerang selatan Lubnan di bawah sebarang kerangka perjanjian.
Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijangka mengumumkan gencatan senjata di Lubnan antara Hizbullah dengan Israel tidak lama lagi.
Di Washington, Jurucakap Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata, bahawa pihaknya semakin hampir tetapi tiada perkara yang akan dilakukan sehingga semuanya selesai.
Macron pula berkata, perbincangan mengenai gencatan senjata telah mencapai kemajuan ketara, sementara di Baitulmaqdis, seorang pegawai kanan Israel memberitahu, Kabinet Israel akan hari ini untuk membincangkan perjanjian tersebut.
Namun, ketika ia dilihat sebagai tanda-tanda kejayaan diplomatik, Israel terus melakukan serangan udara hebat di pinggir selatan Beirut yang dikuasai Hizbullah meneruskan serangan dilancarkan pada September.
Malah Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga turut enggan mengulas mengenai laporan bahawa Israel dan Lubnan telah bersetuju dengan teks perjanjian.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Matthew Miller berkata, jurang antara kedua-dua pihak telah mengecil dengan ketara, tetapi masih terdapat langkah yang perlu mereka ambil untuk mencapai persetujuan.
“Selalunya peringkat terakhir perjanjian adalah yang paling sukar kerana isu paling rumit biasanya dibiarkan hingga ke penghujungnya. Kami berusaha sedaya mungkin,” tambahnya.
Usaha diplomasi bertujuan mendesak Hizbullah yang disokong Iran, untuk bersama Israel agar menamatkan pertempuran yang meletus pada Oktober 2023 selari dengan perang Israel terhadap HAMAS di Gaza.
Di Beirut, Timbalan Speaker Parlimen Lubnan, Elias Bou Saab berkata, tiada lagi halangan serius untuk mula melaksanakan gencatan senjata yang dicadangkan Amerika melainkan Netanyahu mengubah fikirannya.
Beliau berkata cadangan itu akan melibatkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan dan tentera tetap Lubnan yang ditempatkan di wilayah sempadan yakni merupakan kubu kuat Hizbullah, dalam tempoh 60 hari.
“Persoalan mengenai siapa yang akan memantau pematuhan gencatan senjata diselesaikan dalam tempoh 24 jam terakhir dengan persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa lima negara, termasuk Perancis dan dipengerusikan Amerika,” jelas beliau.
Serangan udara terbaru dilancarkan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 29 orang di tengah Beirut, manakala Hizbullah melancarkan serangan roket terbesarnya ke Israel pada 24 November. – REUTERS/HARAKAHDAILY 26/11/2024
Bakal umum gencatan senjata, tapi Lubnan terus diserang
- Advertisement -