Bahasa Melayu adalah identiti, kedaulatan negara!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Identiti Bahasa Malaysia adalah Bahasa Melayu dan bukannya bahasa Cina, Tamil, atau Inggeris, tegas Pensyarah Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan melalui media sosial, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan yang dilihatnya sebagai penghakisan identiti kebangsaan.

Menurut beliau, negara-negara lain di dunia mempunyai bahasa asal sebagai identiti mereka.

“Pergilah ke negara lain seperti Thailand (identitinya bahasa Siam), Indonesia (bahasa Indonesia atau Melayu), begitu juga negara seluruh dunia, identitinya adalah bahasa asal penduduk di situ, bukan identiti pendatang atau imigran.

“Apa sudah jadi dengan negara ini? Langsung tidak ada identiti, sedangkan identiti itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan dasar-dasar negara. Namun, langsung tidak dihormati,” katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang meraikan pelancong dari China sehingga mengutamakan bahasa mereka, sedangkan Bahasa Melayu telah termaktub sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Kenapa  perkara asas hidup bernegara tidak difahami sehingga ke hari ini?” soal beliau yang juga Timbalan Presiden Muafakat Nasional.

Ridhuan turut mengkritik tindakan segelintir pemimpin yang dianggapnya terlalu akur dengan desakan pihak tertentu hingga mengorbankan kedudukan Bahasa Melayu dan jati diri negara.

“Dahulu papan tanda jalan di Bukit Bintang ditulis dalam Jawi. Kini Jawi hilang entah ke mana. Kini, Bukit Bintang (Kuala Lumpur) sudah seperti negara China. Usah lagi dibandingkan dengan Pulau Pinang. Sudah seperti Hong Kong,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1970 dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus kembali didaulatkan.

Menurutnya, penggunaan tulisan Jawi perlu diperkasakan semula, seperti yang diamalkan di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Semua ini berlaku kerana negara ini tidak lagi diperintah oleh mereka yang ada jati diri atau identiti. Tetapi telah dipengaruhi pemikiran ‘Malaysian Malaysia’, yang dibawa oleh ultra kiasu sejak dahulu lagi,” katanya.

- Advertisement -

Beliau merujuk kepada parti-parti tertentu yang dianggap beliau sebagai penyebab kepada masalah ini, selain menyeru rakyat Malaysia untuk memahami dan mempertahankan asas pembentukan negara ini yang berakar pada sistem kenegaraan Melayu.

Menurutnya, tanpa jati diri, rakyat Malaysia akan kehilangan setiap peruntukan yang membezakan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. – HARAKAHDAILY 26/11/2024