5G: Bagaimana implikasi kos dan manfaat telah diambil kira

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat kebimbangan mengenai pelaksanaan rangkaian kedua 5G di negara ini, terutamanya berkenaan analisis kos dan manfaat terhadap ekosistem pelaburan Digital Nasional Bhd (DNB).

- Advertisement -

Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), peralihan daripada model rangkaian tunggal ke model dua rangkaian itu dijangka melibatkan pelupusan besar peralatan serta kos tambahan yang perlu ditanggung oleh DNB.

“Apakah terdapat analisa kos manfaat bagi perlaksanaan tersebut terhadap ekosistem pelaburan DNB,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Fadhli turut mempersoalkan mengapa pelan akses dan penyambungan serta spesifikasi tender untuk rangkaian kedua itu tidak didedahkan terlebih dahulu kepada umum sedangkan ia melibatkan kepentingan aset negara dan rakyat.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai peranan U Mobile yang kini bergantung kepada kerjasama dengan syarikat-syarikat telco lain seperti Maxis dan Celcom DIGI.

“Saya rasa (menteri) boleh jelaskan juga apabila kelonggaran diberikan kepada U Mobile untuk bekerjasama dengan syarikat Telco Line menunjukkan bahawa U Mobile ini tidak mempunyai kapasiti yang kuat ataupun kemampuan untuk melaksanakan sepenuhnya tugas yang diberikan kepada mereka akhirnya bergantung kepada syarikat telco yang lain seperti Maxis dan Celcom Digi.

“Tidakkah ini pada akhirnya akan menyebabkan U Mobile ini akan hanya menjadi broker ataupun orang tengah sahaja dan akhirnya kontrak ini tugasan ini hanya menjadi ‘pi mai pi mai tang tu’ atau bak kata Yang Berhormat Tambun, ‘zaman edan’,” katanya.

Menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan telah mengambil kira semua aspek teknikal dan kewangan dalam peralihan kepada model dua rangkaian 5G.

Mengenai analisa kos dan manfaat, beliau berkata, ia telah diteliti secara mendalam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan transformasi negara ke arah teknologi digital dapat dilakukan dengan lancar.

Mengulas mengenai keterbukaan tender dan perjanjian, beliau berkata, keputusan perkara itu terletak di bawah kuasa SKMM dan dokumen tersebut hanya diakses oleh pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 26/11/2024