Wakil rakyat dibenar lawat mangsa banjir di PPS

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Wakil rakyat dibenar melawat mangsa banjir dalam kalangan rakyat mereka di pusat penempatan sementara (PPS) dengan syarat memaklum kepada penyelaras pusat pemindahan tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Rohani Ibrahim berkata, wakil rakyat boleh datang dengan diiringi penghulu mukim.

Katanya, kehadiran wakil rakyat ke PPS bukan untuk tujuan politik.

“Bantuan yang hendak disampaikan hendaklah dimaklumkan kepada penyelaras terlebih dahulu bagi memudahkan pengagihan kepada mangsa banjir yang berada di PPS,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 di sidang DUN hari ini.

Beberapa tahun lepas tular isu wakil rakyat kerajaan negeri dihalang datang membantu mangsa banjir di sebuah sekolah di Kota Bharu. 

Kejadian serupa juga difahamkan berlaku di Rantau Panjang di mana ada parti politik tertentu menghalang pihak lain yang datang membantu mangsa banjir di PPS.

Banjir mulai melanda beberapa tempat di Kelantan Jumaat lepas ekoran hujan lebat.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat seramai 30 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor. – HARAKAHDAILY 25/11/2024