Teroka pendapatan baharu tingkat hasil negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Belanjawan Kedah 2025 dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah yang terbaik dan mudah difahami, demikian kata Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam).

- Advertisement -

Katanya, penggunaan gaya bahasa yang mudah dan bersahaja, tanpa menggunakan istilah rumit mengelirukan, pastinya memudahkan semua lapisan rakyat untuk memahaminya.

“Perkara ini juga penting, agar rakyat bawahan memahami bagaimana Kerajaan Negeri merancang, mencari dan membelanjakan wang untuk tahun hadapan.

“Tema Bajet 2025, iaitu E.R.A.T Sejahtera, disusun dengan cara yang jelas dan mudah, malah bajet kali ini juga memperkenalkan 15 fokus utama dan 50 inisiatif yang merangkumi hampir semua segmen rakyat di negeri ini demi memastikan kesejahteraan semua,” kata beliau.

Sungguhpun ujarnya pada tahun ini, bajet defisit sebanyak RM99.9 juta atau 12.6 peratus, namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana kebanyakan negeri di Malaysia turut mengalami defisit.

Bukan sahaja ujarnya, negeri yang bergantung kepada sektor pertanian seperti Kedah, bahkan, negeri-negeri perindustrian pun ada yang mengalami situasi sama seperti Pulau Pinang baru-baru ini membentangkan Bajet 2025 dengan defisit RM33.63 juta.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Kedah memilih untuk tidak memotong anggaran perbelanjaan, sebaliknya menambah perbelanjaan sebanyak RM37.8 juta.

“Disokong dengan anggaran pendapatan yang lebih tinggi iatu sebanyak RM42 juta pada tahun hadapan,” tambah Pengerusi ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan (backbencher) itu lagi.

Azhar berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan menyokong Belanjawan Kedah 2025 pada Sidang DUN Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Meskipun demikian tambahnya, Kerajaan Negeri perlu terus berusaha mencari peluang baru untuk meningkatkan hasil negeri terutama merealisasikan sasaran pendapatan RM1 bilion menjelang tahun 2028.

“Hal ini memerlukan kerjasama daripada agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Contohnya salah satu langkah yang sudah dilaksanakan ialah pengenalan cukai petak bagi hartanah strata yang kini menjadi sumber pendapatan penting bagi kerajaan negeri,” kata beliau lagi.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pengenaan cukai untuk penggunaan ruang udara dan bawah tanah, seperti bagi papan tanda, laluan kabel elektrik dan fiber optik.

Syarikat-syarikat besar dalam sektor tenaga dan telekomunikasi itu tegasnya, memperolehi keuntungan besar dan seharusnya memberi sumbangan melalui cukai yang munasabah.

Dalam pada itu beliau juga menyokong langkah untuk menyemak semula cukai tanah agar ia sejajar dengan nilai pasaran hartanah semasa.

“Walau bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan bahawa kenaikan cukai tidak membebankan golongan B40 atau golongan petani dan penternak yang mempunyai tanah dalam jumlah yang kecil.

“Namun kadar cukai yang lebih tinggi boleh dikenakan kepada tanah yang digunakan untuk perniagaan atau industri,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan agar Kerajaan Negeri terus meneroka potensi sumber semula jadi seperti unsur nadir bumi (REE), yang kini semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan masih belum mempunyai perancangan yang jelas mengenai REE, kerajaan negeri perlu meningkatkan pengawasan dan memastikan aktiviti penerokaan dan pengurusan sumber ini dilaksanakan dengan telus dan menguntungkan negeri,” katanya.

Satu projek ujarnya yang boleh memberi impak positif kepada ekonomi negeri adalah Projek Pelancongan Rekreasi Jeruju di Kubang Pasu.

Kata Azhar, jika projek itu diluluskan, ia berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama di utara Kedah dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Ucapan perbahasan beliau tidak terkecuali menyentuh isu beras tempatan yang tiada di pasaran sekarang.

Berikutan itu beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan beras yang dihasilkan di Kedah dijual dengan harga lebih baik kepada rakyat negeri ini.

“Cadangan ini untuk mengelakkan beras tersebut dibawa keluar dari negeri ini dan akan membantu memastikan bekalan beras tempatan mencukupi di pasaran negeri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap segala inisiatif dan perancangan yang dikemukakan dapat dilaksanakan dengan berjaya demi kebaikan rakyat Kedah. – HARAKAHDAILY 25/11/2024