KUALA LUMPUR: Tapak arkeologi Sungai Batu di Kedah wajar dijadikan sebagai warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berpendapat bahawa pengangkatan tapak bersejarah tersebut adalah tepat kerana nilai sejarahnya yang begitu unik.
“Sejauh manakah usaha yang dimainkan oleh pihak MOTAC untuk mendapatkan pengiktirafan tapak arkeologi Sungai Batu, Kedah sebagai tapak warisan dunia UNESCO.
“Apakah bentuk cabaran yang dihadapi oleh MOTAC dalam mempercepat dan merealisasikan hasrat mendapatkan pengikti UNESCO ke atas penubuhan tapak bersejarah ini,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejarah Sungai Batu itu juga diakui oleh para penyelidik dari pusat penyelidikan arkeologi global Universiti Sains Malaysia (USM) sejak penemuannya pada tahun 2007.
“Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof Datuk Dr Mohamad Mokhtar Saidin menyatakan bahawa tempat berkenaan merupakan tapak-tapak peleburan besi yang wujud seawal tahun 788 sebelum Masihi.
“Ini merupakan tamadun terawal di Asia Tenggara mengatasi tamadun Rom dan Yunani. Justeru biarlah usaha mendapatkan pengiktirafan ini menjadi satu realiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024