KUALA LUMPUR: Sukan permotoran terus mendapat tempat dalam kalangan anak muda di seluruh negara, sama ada di kampung, bandar dan pekan kecil.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, aktiviti itu bukan sahaja menjadi platform hiburan tetapi juga medium untuk menyatukan komuniti belia.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Allahyarham Muhammad Syauqi Ismail, Pengerusi Pertubuhan Permotoran Santai Anak Utara, yang meninggal dunia baru-baru ini.
“Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam menganjurkan pelbagai program permotoran melibatkan puluhan ribu anak muda dengan kerjasama pihak kerajaan.
“Sukan permotoran sangat dekat di hati anak muda. Saya ingin bertanya, adakah kementerian mempunyai perancangan untuk menggunakan dana sukan komuniti bagi aktiviti sukan permotoran ini?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, penggunaan dana sukan komuniti tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
“Dana ini hanya boleh digunakan jika penganjuran memenuhi syarat seperti dianjurkan oleh persatuan sukan, kelab sukan, atau persatuan belia dan mesti mengandungi elemen pertandingan.
“Selain itu, ia juga perlu mematuhi senarai sukan yang telah disenaraikan dalam Jadual 1, melibatkan 103 jenis sukan.
“Ada kategori yang mana kita boleh luluskan ada kategori yang kita tidak benarkan. Itu sahaja sebenarnya. Tapi lebih atau secara ringkasnya boleh dan sudah pun dilaksanakan sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024