Rumah ibadat: Peruntukan perlu berasas penilaian keutamaan

Dato' Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memastikan peruntukan penyelenggaraan rumah ibadat diberikan secara adil dan berasaskan penilaian keutamaan.

- Advertisement -

Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) meminta KPKT menjelaskan mekanisme yang digunakan bagi mengelakkan rumah ibadat yang sama menerima peruntukan setiap tahun.

“Adakah terdapat sebarang mekanisme penilaian keutamaan dalam untuk pertimbangan kelulusan KPKT,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

 Beliau juga mencadangkan agar pemilikan tanah menjadi antara syarat utama dalam pemberian peruntukan tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam jawapannya berkata KPKT memaklumkan setiap permohonan inisiatif penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) akan melalui proses saringan, penilaian, dan pemantauan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat task force yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

Menurutnya, permohonan yang pernah menerima bantuan akan digugurkan, dan garis panduan sedang dipinda untuk melarang permohonan berulang dalam tempoh tiga tahun. – HARAKAHDAILY 25/11/2024