KUALA LUMPUR: Rugilah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekiranya tidak dikembangkan akibat daripada campur tangan politik itu sendiri, kata Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
Menurutnya, sudah banyak hasil baharu yang diperoleh daripada proses R&D dalam pelbagai bidang.
Beliau menyatakan sudah beberapa kajian dilakukan dan mempunyai hasil daripada proses tersebut tetapi setelah itu, R&D tersebut dibiarkan begitu sahaja dan tidak lagi dikembangkan.
“Ini yang kita selalu bangkitkan bahawa duit kita belanja banyak untuk R&D tetapi bila sudah dapat penghasilan kepada kerajaan ianya tak digunakan sebab adanya campur tangan politik,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, campur tangan politik itu sendiri yang menyebabkan terhalangnya segala pembangunan yang berlaku dalam negara ini.
Tambah beliau, perkara sebegitu tidak seharusnya dibiarkan untuk terus berlaku memandangkan apa jua R&D adalah untuk kepentingan negara ini.
“Jadi, dalam apa hal sekalipun jika ada campur tangan politik yang merupakan eksekutif yang membuat dasar maka akan menjadi terhalang segala pembangunan kita,” ujarnya.
Beliau berharap segala R&D perlu diguna pakai untuk kebaikan negara tanpa mengira sebarang pemikiran dan keuntungan pihak politik tertentu. – HARAKAHDAILY 25/11/2024