Raja Perlis tegaskan amanah pemimpin kepada rakyat

- Advertisement -

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Arau, di sini hari ini.

- Advertisement -

Dalam titah baginda, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan bahawa institusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah lama wujud, sebelum era kemerdekaan, namun ketika itu ia tidak dianggotai oleh wakil rakyat.

“Ahli majlis terdiri daripada wakil pelbagai bangsa dan pihak lain seperti jurutera kerajaan. Namun, selepas kemerdekaan, majlis ini kini diwakili oleh wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menekankan pentingnya amanah dan tanggungjawab Exco dalam memegang sumpah yang telah dilafazkan.

“Setiap Exco tidak boleh membocorkan rahsia mesyuarat. Dahulu, sebelum mesyuarat, rakyat sudah tahu isi mesyuarat, tetapi alhamdulillah, sekarang perkara itu tidak berlaku lagi. Saya harap integriti ini diteruskan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan keutamaan seorang wakil rakyat adalah kepada rakyat, bukan kepentingan diri sendiri.

“Jika kita dahulukan diri sendiri, kita bukan wakil rakyat, tetapi wakil diri sendiri. Berkhidmatlah untuk kesejahteraan rakyat supaya semua mendapat manfaat,” titah baginda lagi.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menegaskan perlunya Perlis bergerak lebih pantas dalam pembangunan.

“Kita negeri kecil, sepatutnya lebih mudah untuk bergerak maju. Ambillah peluang untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi portfolio masing-masing.

“Jika perlukan bantuan, jangan segan bertanya atau bekerjasama dengan negeri lain. Lakukan yang terbaik untuk rakyat,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 25/11/2024