Penduduk hanya perlu bayar cukai pintu 60 sen sehari

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat pusat kitar semula.

Katanya, pusat kitar semula yang ada sekarang dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Sekarang Skuad Islam Wanita Machang melaksanakan kitar semula dengan kerjasama Majlis Daerah Machang. Hasil daripada program berkenaan disedekah kepada Tabung Palestin.

“Tempat-tempat lain pun kena tiru apa yang dilakukan di Machang. Kumpul bahan-baha kitar semula sehingga beberapa tan kemudian boleh maklum kepada Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang DUN hari ini.

Semalam ketika mengambil bahagian perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2025 Adun Kemuning Ahmad Zakhran Mat Noor mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu di setiap daerah di Kelantan.

Hilmi juga berkata, penduduk yang tinggal di kawasan bandar hanya perlu membayar cukai pintu 60 sen sehari kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan.

Kata beliau cukai tersebut dimanfaatkan semula untuk rakyat termasuk melalui perkhidmatan kutipan sampah, mengetar jalan, menyelengara longkang dan menyediakan lampu jalan.

“Segala infrastruktur dan perkhidmatan dalam bandar dikendalikan oleh PBT.

“Kita perlu kerjasama daripada semua pihak. Dan kita juga berharap PBT dapat beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau mendedahkan tunggakan cukai di PBT begitu tinggi, di mana 30 peratus tertunggak setiap tahun.

Kata beliau MPKB BRI mempunyai tunggakan cukai yang belum dijelaskan warga bandar berjumlah RM30 juta.

Kata beliau juga pendapatan MPKB-BRI sekitar RM70 hingga RM80 juta setahun.

“Kita berusaha untuk menaik taraf Kota Bharu kepada status bandar raya dengan syarat mendapat pendapatan RM100 juta setahun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024