ALOR SETAR: Cadangan Pelabuhan Sanglang adalah merupakan projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan di Daerah Kubang Pasu dan merupakan salah satu keutamaan yang disenaraikan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin pelabuhan itu juga dijangka mampu memacu pertumbuhan ekonomi dalam usaha mencapai ‘The Greater Kedah’ menjelang tahun 2050.
Beliau menjawab pertanyaan diajukan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) pada sesi soalan lisan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pada soalan lisan itu, Mohd Ashraf inginkan penjelasan status agenda serta pembangunan jeti pelabuhan laut yang dirancang dibina di Kuala Sanglang.
“Cadangan pelabuhan itu akan dibangunkan melalui inisiatif pihak swasta dengan pembangunan sebuah pelabuhan kargo ‘landbridge’ yang berfungsi sebagai jalan pintas antara Laut Andaman dan Gulf of Thailand .
“(yang) akan memanfaatkan kedua-dua negara memandangkan gerbang terminalnya adalah antara di Malaysia (Sanglang) dan Thailand (Songkhla),” jelas beliau.
Selain itu ujarnya Sanusi, cadangan pelabuhan itu juga akan menjadi ‘feeder port’ bagi melengkapi keperluan kapasiti Pelabuhan Pulau Pinang pada masa kini.
Sementara Pelabuhan Sanglang juga maklumnya, akan berfungsi sebagai hab tenaga baharu berasaskan ammonia dan hidrogen.
Serta katanya, akan meningkatkan pembangunan pertumbuhan ekonomi di bahagian Pantai Barat Daerah Kubang Pasu yang kini didominasi oleh aktiviti pertanian dan perikanan.
Berdasarkan status terkini tambahnya, pihak syarikat serta perunding yang dilantik sedang memperhalusi cadangan pelabuhan ini termasuk lokasi serta aktiviti ‘hinterland’ dan hiliran yang sesuai .
“Pihak syarikat telahpun mengemukakan cadangan pelabuhan ini kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan kini sedang ditambah baik berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak Kementerian.
“Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal bagi memperhalusi kesesuaian lokasi tapak serta bentuk pembangunan projek yang dicadangkan oleh pihak syarikat dan dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2024,” kata ADUN Jeneri itu lagi
Berikutan itu ujarnya, melihatkan kepada manfaat ekonomi yang bakal dinikmati dari segi peluang pekerjaan, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Kedah serta Malaysia, Kerajaan Negeri komited untuk merealisasikan projek ini selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya urusan berkaitan tanah.
Justeru beliau mengharapkan, cadangan pelabuhan ini mendapat sokongan serta kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi negeri malah untuk negara juga. – HARAKAHDAILY 25/11/2024