KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kekayaan dimiliki negara-negara Islam sepatutnya dimanfaatkan untuk menyediakan tentera yang dilengkapi dengan semua senjata buatan sendiri untuk menyelamatkan umat Islam.
“Kita patut tanya diri kita kenapa tidak ada kuasa besar dalam kalangan negara-negara Islam. Sebabnya ialah kerana kita abaikan fardu kifayah. Sebenarnya Allah telah kurniakan kepada negara-negara Islam kekayaan yang tidak terhingga nilainya.
“Tiap hari berpuluh juta tong minyak petrol yang dikeluarkan di negara Islam. Tiap satu tong menghasilkan US70 dollar (RM300). Berpuluh juta tong bermakna USD1,400,000,000 sehari.
“Itu untuk satu hari. Pada satu tahun ada 365 hari,” katanya yang turut meluahkan rasa bersalah kerana gagal menunaikan ajaran Islam ketika menjadi ketua pentadbiran kerajaan khususnya, mengenai keselamatan umat Islam.
Menurut Tun Dr Mahathir yang juga Ketua Panel Penasihat SG4, beliau turut sedih dan kecewa mendapat laporan bagaimana tiap hari puluhan orang Palestin di Gaza dibunuh oleh tentera Israel.
“Sekarang rakyat Lubnan pula yang dibunuh oleh Israel. Kenapa genosid ini berlaku berterusan? Sebabnya ialah kerana umat Islam tidak mampu melindungi dan menyelamat umat Islam seperti yang diwajib oleh agama Islam.
“Di zaman Uthmaniyah Turki genosid ke atas umat Islam tidak berlaku. Bangsa-bangsa lain tidak berani menindas orang Islam kerana takut diserang oleh askar Turki.
“Di zaman ini tidak ada negara Islam yang menjadi kuasa besar yang boleh menakutkan musuh Islam. Kita patut tanya diri kita kenapa tidak ada kuasa besar dalam kalangan negara-negara Islam,” tegasnya.
Menurut negarawan itu, dengan kurniaan yang begitu banyak sepatutnya umat Islam mampu mengadakan tentera yang dilengkapi dengan semua senjata buatan kita sendiri untuk menyelamatkan umat Islam.
“Tetapi kita tidak berupaya. Ini adalah kesalahan kita, kerana kita tidak ikut ajaran agama kita untuk menyelamatkan umat Islam. Saya berasa amat bersalah kerana gagal menunaikan ajaran Islam berkenaan keselamatan umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024