SHAH ALAM: Ketelusan dalam penggunaan dana awam adalah amat penting untuk dipastikan supaya setiap peruntukan yang diluluskan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) menuntut penjelasan lanjut mengenai peruntukan ‘one-off’ berjumlah RM4,428,000 dalam Belanjawan Selangor 2025 untuk penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
“Apakah aktiviti ataupun keperluan peruntukan pada dalam ‘one-off’ itu?” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2025 peringkat jawatankuasa di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), turut menuntut maklum balas daripada Kerajaan Negeri berhubung perbelanjaan di bawah Adat Istiadat Melayu dan Warisan.
“Kita sedia maklum Muzium Selangor masih lagi dalam proses baik pulih dan belum lagi dibuka. Apakah alasan dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri agar kewangan yang kita belanjakan itu setimpal dengan pulangan pelaburan (ROI)?
“Begitu juga dengan Muzium Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang masih lagi dalam proses pembinaan dan juga mengambil masa yang lama,” katanya.
Turut dibangkitnya isu perbelanjaan Hal Ehwal Agama Islam dan industri halal juga diturunkan daripada RM100,000 kepada RM80,000, manakala pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi diturunkan kepada RM60,000.
“Apakah prestasi penggunaan peruntukan bagi tahun ini kerana bagi saya ia tidak wajar untuk diturunkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024