MOTAC digesa lebih agresif majukan pelancongan halal

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu memberi fokus yang lebih serius terhadap Islamic Tourism Council (ITC).

- Advertisement -

Sehubungan itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menggesa MOTAC untuk lebih agresif dalam memajukan industri pelancongan halal, terutama bagi menarik pelancong dari negara-negara Timur Tengah.

Beliau menekankan bahawa Malaysia perlu kekal menjadi destinasi utama bagi pelancong Muslim global.

“Malaysia tidak pernah gagal menjadi tumpuan pelancong dan pertambahan 300,000 pada tahun 2005 tidak mencerminkan pihak kementerian komited lagi dalam menjunjung Malaysia sebagai ITC. Mohon pihak kementerian lebih agresif dalam isu ITC ini,” katanya.

Rushdan mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, Rushdan turut menegur kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, dengan menuntut MOTAC memastikan persiapan yang teliti dalam penganjuran forum pelancongan tersebut.

Menurutnya, Malaysia, yang pernah menjadi pengerusi ASEAN sebanyak empat kali, perlu memperkemas strategi bagi mencapai sasaran 2.3 juta pelancong dari Thailand dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan melalui Inisiatif Kerjasama Subregional (IMT-GT).

Rushdan juga menyentuh keberkesanan inisiatif ‘self-driven tourism’ yang diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran pelancongan antara Malaysia dan negara jiran.

Baru-baru ini, beliau turut melawat Patani untuk perbincangan mengenai pelancongan sempadan dan menegaskan perlunya dasar inklusif serta insentif khas untuk memudahkan kerjasama tersebut.

“Pihak sana agak agresif untuk bekerjasama dengan kita di Malaysia,” kata Rushdan.

Beliau berharap Kementerian Pelancongan dapat menangani cabaran ekonomi gig dan memastikan sektor pelancongan terus berkembang serta memberi manfaat seimbang kepada semua pihak, termasuk industri, komuniti tempatan, dan alam sekitar.

“Saya mendoakan agar Malaysia dapat membuat yang terbaik untuk ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024