HOLISTIK diambil daripada kata ‘whole’ (menyeluruh) atau daripada pandangan ‘holism’ (daripada bahasa Yunani, holos, yang bererti semua, keseluruhan, total) digunakan dalam segala aspek.
Ibn Khaldun menegaskan bahawa fitrah semua manusia itu bermadani. Hanya dua jenis madani, iaitu antara Islam atau jahiliah. Malaysia juga bersifat madani sejak zaman dahulu kala didiami manusia, zaman Islam, zaman penjajah, dan zaman selepas kemerdekaan yang mewarisi madani penjajah.
Dalam aspek mengatasi rasuah yang hangat diperkatakan, bolehlah dikatakan tindakan Kerajaan Reformasi Pakatan Harapan Madani yang berdegar-degar menangani rasuah tidak holistik memeranginya, kerana tidak bersifat menyeluruh daripada akar umbi dan hanya terhadap penerima rasuah yang terpilih sahaja. Di samping itu, mereka membebaskan pemberi rasuah yang memberikan kerjasama dan para brokernya yang berkeliaran, tetapi bertindak terhadap segelintir penerima rasuah.
Tindakan tersebut laksana menghapuskan penyakit wabak denggi dengan bertindak terhadap mangsa jangkitan, namun membiarkan nyamuk Aedes membiak dan membiarkan kalangan pengotor yang menjadi angkara tempat pembiakan nyamuk.
Rasuah merupakan salah satu penyakit madani jahiliah sepanjang zaman, bukan Malaysia sahaja satu-satunya kononnya kerajaan madani seperti yang diperbodohkan, kerana madani ialah tabii manusia mengikut fitrahnya.
Lebih diragukan, parti dan kerajaan yang dalamannya berpenyakit rasuah dalam semua lapisan pemilihannya, sehingga usaha mendapat kuasa juga membawa penyakit ini dalam semua lapisan sehingga rakyat. Hal ini laksana menugaskan pencuri menangkap pencuri yang diberikan lesen dan mendapat bantuan pencuri yang lain pula.
Allah SWT menceritakan sifat madani Bani Isra’il yang paling dimurkai-Nya kerana madani jahiliah mereka yang beragama. Walaupun dikurniakan hidayah dengan pelantikan para rasul bersama kitab Allah, mereka tetap bertuhankan kebendaan:
أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٤٤
“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu (kewajipanmu) sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?” [Surah al-Baqarah: 44]
Firman Allah SWT:
لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّانِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣
“Mengapa orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya, amat buruk apa-apa yang telah mereka kerjakan itu.” [Surah al-Ma’idah: 63]
Para agamawan membiarkan kemungkaran mereka dilakukan.
Bermula daripada pemilihan raja mereka sehingga menteri kabinet dan gaya hidup para agamawan, semuanya berkonsepkan harta. Allah SWT mendedahkan hidup mereka itu dengan firman-Nya:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]
Allah mendedahkan mereka berpenyakit politik harta apabila memilih raja dan pemimpin, bahkan para ulama’ juga berpenyakit rasuah. Firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkannya lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175–177]
Mereka bertuhankan harta, termasuk para agamawan, sehingga melampau melakukan yang haram kerana memahukan apa-apa sahaja harta, seperti riba, rasuah, menipu, salah guna kuasa, dan lain-lain.
Islam menetapkan bahawa rasuah adalah dosa besar yang diharamkan dengan tegas oleh firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim (pihak yang berkuasa), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]
Termasuk dalam takrif rasuah adalah jenayah dan dosa besar, yang dihuraikan dengan maksud yang lebih luas oleh hadis Rasulullah SAW:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan orang tengahnya (perantaranya).” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22399, daripada Thauban]
Di sini menunjukkan bahawa semua orang yang berkaitan dengan rasuah dilaknat Allah, yang bermaksud tidak mendapat rahmat Allah dalam kehidupan dunia dan Neraka pada Hari Akhirat jika tidak bertaubat nasuha dan tidak dihukum di dunia dengan hukum Allah.
Adapun hukum syariat Islam berkenaan rasuah termasuk dalam hukuman jenayah takzir yang ditetapkan hukumannya oleh pemerintah mengikut tahap dan kadar kesalahannya.
Syariat Islam berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ada aspek aqidah keimanan kepada yang ghaib yang mengawal hati dan fikiran, janji Allah yang memberikan pahala kepada sesiapa yang meninggalkan atau menolak perkara haram, serta berdosa besar jika tidak dihukum atau bertaubat nasuha dengan meninggalkannya dan berazam tidak melakukannya lagi serta menyesal kerana melakukannya. Tegasnya, orang yang terlepas daripada hukuman dunia tetap percaya akan menerima balasan selepas meninggal dunia dan sedar bahawa dirinya tidak selamat di dunia dan akhirat.
Hasil harta yang haram itu menjadi darah daging diri dan keluarganya, termasuk yang digunakan dalam semua urusan kehidupannya dan juga untuk ibadatnya. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٦٨
“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu! Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (267) Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan; sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (268)” [Surah al-Baqarah: 267–268]
Perkara ini ditafsirkan lagi oleh hadis Rasulullah SAW:
أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ}. وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ}، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ، أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
“Wahai manusia, sesungguhnya, Allah itu Maha Baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik sahaja! Sesungguhnya, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman dalam perkara ini sama sahaja perintahnya terhadap para rasul. Firman Allah, ‘Wahai para rasul, makanlah yang halal dan kerjakanlah amal soleh! Sesungguhnya, Aku Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.’ Firman Allah, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah yang halal yang telah Kami rezekikan kepada kamu!’” Kemudian, Rasulullah SAW menceritakan seorang yang banyak musafirnya, sehingga kusut-masai rambutnya dan kotor pakaiannya. Dia berdoa, ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku!’ (beberapa kali diulangnya), sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan yang haram. Bagaimana hendak diperkenankan doanya?” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1015, daripada Abu Hurairah]
Syariat Allah meletakkan semua yang berkaitan pelaku kesalahannya berada di bawah hukuman-Nya tanpa terpilih kerana hubungan keluarga, pangkat, mahupun taraf kedudukannya. Syariat berkonsepkan holistik terhadap kesemua mereka yang berkaitan dengan kesalahan; daripada pemberi, penerima, sehingga perantaranya. Tidak ada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada hukuman dan dosa, kerana konsep semua orang ialah hamba kepada Allah, sehingga tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang Allah. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya, Allah adalah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Undang-undang syariat Allah meletakkan semua manusia berada di bawah undang-undang yang menjadi sempadan. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]
Hal ini termasuk diri Rasulullah SAW berada di bawah konsep hamba kepada Allah, di bawah syariat-Nya, dan dianggap syirik jika meletakkan dirinya mengatasi syariat Allah. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٥
“Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu, ‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.’” [Surah al-Zumar: 65]
Adapun undang-undang ciptaan manusia tidak ada roh dosa pahala dan tanpa wawasan pada Hari Akhirat. Merasakan dirinya selamat kalau terlepas daripada tindakan undang-undang. Maka, ramai kalangan yang merasa diri mereka berkuasa menyalahgunakan kuasa terhadap diri mereka atau yang terpilih dalam kalangan mereka.
Setiap orang yang beriman merasakan dirinya diawasi oleh Allah dan para malaikat yang ditugaskan, sehinggalah anggota jasadnya menjadi saksi pada Hari Kiamat di mahkamah Allah Yang Maha Adil. Firman Allah SWT:
ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥
“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa-apa yang dahulu mereka usahakan.” [Surah Yasin: 65]
Namun, Allah membuka pintu taubat yang luas di alam dunia kepada hamba-Nya yang beriman. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” [Surah al-Nisa’: 48]
Islam menunjukkan pendekatan menyeluruh bagi menangani penyakit masyarakat, bermula daripada pendidikan diri, keluarga, masyarakat, sehingga nasihat, tindakan undang-undang, dan menjejak sehingga bertaubat sebelum akhir hayat.
Rasulullah SAW menamakan negara awal Madinah al-Munawwarah berkonsepkan jenama madani hidayah Allah yang berwawasan dunia hingga akhirat, bukan jahiliah ciptaan manusia.
Firman Allah SWT yang membelahbahagikan dua cara perjuangan hidup manusia:
فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ٢٠٢
“…Maka, antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,’ dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200) Dan antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada seksa Neraka.’ (201) Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)” [Surah al-Baqarah: 200–202]
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap memperkenalkan konsep pemerintahan Islam di mana-mana negeri yang diperintah walaupun banyak halangan dilakukan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Jumada al-Ula 1446 / 25 November 2024
[Bil: 51 / 2024] – HARAKAHDAILY 25/11/2024