ARAU: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dan dilantik semula bagi sesi ini akan berkhidmat sehingga tamat penggal.
Menurut beliau, rombakan Exco kali ini melibatkan penambahan bilangan Exco berbanding sebelumnya serta tiga muka baharu yang diharap dapat memperkukuh pentadbiran negeri.
“Dengan pasukan baharu ini, insyaAllah kerajaan negeri akan lebih mantap seperti yang dikehendaki oleh Tuanku Raja.
“Perlis adalah negeri kecil yang mudah dikendalikan, dan kerajaan negeri perlu lebih agresif dalam usaha pembangunan,” maklumnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Arau, di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan kepentingan kerjasama erat antara Exco Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk memastikan keberhasilan yang lebih besar demi rakyat.
“Saya berharap semua Exco dapat bekerja dalam satu pasukan demi kesejahteraan rakyat seperti yang dititahkan Tuanku Raja. InsyaAllah, kami boleh bekerjasama berkuatkuasa bermula hari ini,” ujarnya.
Mohd Shukri turut mengangkat peranan bekas Exco yang tidak lagi memegang jawatan, dengan menekankan pengalaman mereka akan terus digunakan untuk membantu, khususnya dalam usaha menarik pelaburan ke negeri ini.
“Bekas Exco yang berpengalaman akan terus membantu dalam bidang tertentu, terutama pelaburan. Kita masih kurang pelaburan, sedangkan ramai anak muda memerlukan peluang pekerjaan.
“Oleh itu, usaha untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Perlis mesti dipertingkatkan,” katanya.
Beliau juga berharap agar portfolio Exco baharu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dilantik Exco bagi sesi baharu yang bermula hari ini dengan semua Exco dari PAS dikekalkan bersama penambahan seorang ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim selaku muka baharu
Dua ADUN BERSATU iaitu ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak dan ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan (Pauh) digantikan dengan ADUN Sena, Marzita Mansor dan ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Mohd Ridzuan, Marzita, dan Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Istana Arau hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Selain itu, lima Exco sedia ada turut mengangkat sumpah untuk memegang portfolio masing-masing bagi penggal baharu.
Mereka ialah ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan; ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil; ADUN Simpang Empat, Razali Saad; ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dan ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim. – HARAKAHDAILY 25/11/2024