KUALA LUMPUR: Langkah mewajibkan papan tanda dwi Bahasa tidak akan menghalang kemajuan sektor pelancongan, malah ia dilaksanakan untuk pembangunan sektor berkenaan.
Papan tanda dwi -bahasa juga boleh memperkukuhkan citra Malaysia sebagai negara yang menghormati budaya dan bahasa kebangsaannya sambil mesra kepada pelancong.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Menteri Pelancongan yang menolak penguatkuasaan papan tanda dwi-bahasa di kawasan pelancongan.
“Sikap sedemikian menunjukkan kurangnya keprihatinan terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menilai semula pendiriannya dan memastikan semua dasar berkaitan pelancongan mengambil kira kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Azhar turut meminta kerajaan perlu bersikap tegas dalam memelihara kedudukan bahasa Melayu tanpa kompromi.
“Bahasa Melayu adalah identiti negara. Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi tetapi juga melambangkan jati diri negara dan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 25/11/2024