KOTA BHARU: Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan terus diperkukuh kerajaan negeri dengan menyediakan jumlah peruntukan begitu besar dalam Belanjawan 2025.
Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) berkata, bagi belanjawan tahun hadapan Yayasan Islam Kelantan (YIK) diperuntukan sebanyak RM130.2 juta.
Katanya, jumlah peruntukan itu terus meningkat daripada RM85.014 juta pada tahun 2014 kepada RM125.2 juta (2024) dan RM130.2 juta (2025).
“YIK menaungi 93 sekolah agama termasuk 12 Maahad Tahfiz yang telah melahirkan 5,122 hafiz dan hafizah sejak 1992.
“Terdapat lebih 400,000 lepasan sekolah YIK sejak 2013,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Belanjawan 2025 pada sidang DUN semalam.
Menurutnya juga Kelantan muncul sebagai hub pendidikan Islam di mana terdapat 57 Maahad Tahfiz swasta, 46 institusi pondok dan 32 sekolah agama swasta yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Kata beliau di Pasir Puteh terdapat lapan sekolah di bawah naungan YIK, di mana empat daripadanya berada di Dun Limbongan dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Tok Guru di Kampung Wakaf.
“Saya mencadangkan penubuhan kelas aliran sains di Maahad Saniah Pasir Puteh, di samping tawaran sedia ada di Maahad Sains Nurul Hidayah di Tualang Tinggi, Selising.
“Ini selaras dengan permintaan tinggi terhadap aliran sains dan pengembangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Mataematik (STEM),” ujarnya.
ADUN Limbongan juga berkata, Negeri Rahmah Tadahan Wahyu diiktiraf Negeri bahagia dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2022 dengan indeks 7.07 di kawasan bandar dan 6.94 luar bandar.
Begitu juga pengiktirafan dan penarafan oleh Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengangkat Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai antara 10 bandar paling bahagia pada tahun 2023.
Kata beliau pada tahun 2024 bandar Jeli berada kedudukan kedua, antara 10 Bandar paling Bahagia di Malaysia dalam indeks Kebahagiaan Malaysia yang dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Pelan Malaysia).
Nor Asilah juga berkata, Kelantan negeri kedua paling selamat dengan indeks jenayah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan skor 96 di bawah Sabah dengan skor 95.
“Kota Bharu juga diiktiraf sebagai bandar ke-16 terbaik di Asia Tenggara dan ke-433 di dunia hasil laporan Oxford Economic Global Cities, Index 2024,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024