ALOR SETAR: Pelbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasa sekolah agama dan pondok di seluruh Kedah, jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) khususnya, telah mengambil beberapa langkah dalam memperkasakan institusi berkenaan seperti bantuan operasi dan peralatan pembelajaran.
Termasuk katanya, membantu berkenaan semakan semula kurikulum pondok dan tahfiz, kursus pengurusan pentadbiran dan kewangan serta program transformasi pendigitalan sekolah.
“Selain itu, beberapa langkah turut diambil oleh Lembaga Maktab Mahmud seperti menyediakan dana pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
“Termasuk kurikulum yang selari dengan kurikulum Pendidikan Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). (Juga) Membantu memperkasakan kepimpinan sekolah yang berkesan.
“(Selain) menyediakan guru yang berkelayakan dan berdedikasi dan inovatif serta persekitaran sekolah yang kondusif,” ujarnya pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Dato’ Azam berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Ustaz Salim Mahmood (PN-Bukit Lada) yang mahu penjelasan berkenaan usaha serta langkah Kerajaan Negeri untuk memperkasakan institusi pendidikan agama dan pondok di Kedah.
Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang melibatkan semua SAR berdaftar dengan JHEAIK.
Di mana katanya, program itu memfokuskan bantuan peralatan digital seperti Smart TV serta latihan asas aplikasi komputer kepada guru-guru SAR.
Program itu katanya, dilaksanakan secara berfasa di bawah JHEAIK dan juga Lembaga Maktab Mahmud.
Sementara itu, tambahnya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga turut mengagihkan zakat membantu memperkasa institusi pendidikan SAR dan pondok di negeri ini.
“Setakat 2024, jumlah keseluruhan Agihan LZNK kepada institusi pendidikan tersebut adalah berjumlah RM15, 336, 400,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/11/2024