KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia mengambil perhatian serius terhadap keputusan kerajaan untuk menambah waktu bekerja shif bagi jururawat daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu.
Pengerusinya, Dr Reen Mohd Amin berkata, keputusan kerajaan dalam meningkatkan produktiviti negara wajar diteliti dengan mendalam kerana ia berpotensi memberikan kesan yang besar terhadap kesejahteraan kakitangan kesihatan, khususnya para jururawat yang berkhidmat di barisan hadapan.
Beliau berkata, di negara-negara maju seperti Jerman dan Sweden, purata waktu bekerja mingguan adalah sekitar 35 hingga 40 jam.
“Negara-negara ini telah mempelopori pelaksanaan konsep seperti waktu bekerja fleksibel, yang bukan sahaja menyokong keseimbangan kerja dengan kehidupan, tetapi turut meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
“Langkah ini membuktikan bahawa pengurangan waktu bekerja dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan efisiensi pekerja, selain meningkatkan ketahanan fizikal dan mental pekerja dalam jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Tambah Reen lagi, keputusan kerajaan untuk menambah waktu bekerja shif jururawat dilihat sebagai langkah ke belakang, berbanding pendekatan progresif yang diamalkan oleh negara maju.
“Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini menyeru agar kerajaan dapat meneliti pendekatan alternatif, termasuk memperkenalkan langkah meningkatkan efisiensi kerja yang lebih inovatif lagi manusiawi.
“Pihak kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus yang melibatkan pemegang taruh, khususnya wakil jururawat, badan profesional dan pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian yang mengimbangi antara produktiviti dan kebajikan serta kesejahteraan fizikal dan mental kakitangan, khususnya kakitangan kesihatan.
“Langkah ini diharap dapat memastikan sistem kesihatan di negara ini terus menjadi pilihan kepada tenaga kerja kesihatan khususnya para jururawat, berbanding penghijrahan mereka bekerja di luar negara,” tegasnya.
Beliau turut berkata, sebagai sebuah negara yang komited terhadap pembangunan insani, pihak kerajaan perlu pertimbangkan semula keputusan ini demi memastikan kebajikan para jururawat terus terjaga, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat. – HARAKAHDAILY 25/11/2024