KUALA LUMPUR: Isu pembiayaan lawatan luar negara Perdana Menteri menjadi perhatian apabila kos keseluruhan lawatan yang dianggarkan RM6 juta, dikatakan hanya RM1.6 juta ditanggung oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, baki RM4.3 juta dipercayai ditanggung oleh syarikat swasta sekali gus menimbulkan mengenai prinsip tatakelola.
“Siapa yang menanggung baki RM4.3 juta kos lawatan Perdana Menteri ke luar negara itu? Dan saya rasa itulah yang dimaksudkan syarikat swasta yang menanggung.
“Jika kos lawatan tersebut mencecah RM6 juta, dan kerajaan hanya menanggung RM1.6 juta, maka baki selebihnya ditanggung oleh pihak lain. Inilah yang kami pertikaikan adanya unsur ketidakpatuhan terhadap prinsip tatakelola yang baik.
“Seharusnya, jika kos tersebut adalah RM6 juta, kerajaan perlu menanggung sepenuhnya tanpa melibatkan pembiayaan daripada syarikat swasta,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS dalam satu sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas serta Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Beliau turut menyifatkan bahawa terdapat potensi konflik kepentingan dalam tajaan tersebut, terutamanya apabila melibatkan syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan.
“Kami difahamkan mereka ni pergi sewa pesawat MAS naik satu flight yang sama, satu pesawat yang sama. Kenapa perlu naik satu flight yang sama?
“Sedangkan banyak business trip ataupun rombongan-rombongan perniagaan sebelum-sebelum ni, mereka urus sendiri perniagaan, penerbangan, lawatan, penginapan, mereka sendiri.
“Tak, tak perlu duduk satu flight dengan dengan pemimpin utama apatah lagi orang nombor satu, Perdana Menteri. Jadi semua spoiler ini menimbulkan tanda tanya kepada rakyat.
“Apa kaitan syarikat ini dengan lawatan itu dan apa pulangan yang syarikat ini dapat? sudah tentulah ada conflict of interest pertembungan berkepentingan yang berlaku dalam lawatan-lawatan ini,” katanya.
Beliau berkata, hari ini satu laporan polis telah dibuat bagi meminta pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat tuduhan dan tohmahan yang telah dilemparkan terhadap Perdana Menteri.
Menurutnya, laporan itu diambil untuk membersihkan nama Perdana Menteri yang dicemari oleh pelbagai tuduhan.
“Saya sendiri merasa tidak tenang apabila mendengar pelbagai tohmahan terhadap Perdana Menteri. Kita amat menyayangi Perdana Menteri, oleh itu kita ingin memastikan nama beliau dibersihkan.
“Kami mendesak agar laporan ini disiasat dengan segera dan tohmahan-tohmahan itu dapat ditepis dengan segera,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut mengemukakan soalan kepada Menteri Komunikasi melalui Soalan Lisan di Parlimen, meminta penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan.
“Saya harap pihak Menteri dapat menerima soalan ini dan menjawab di parlimen dalam minggu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024