KOTA BHARU: Kerajaan negeri menghargai jasa dan keringat Pembantu Dakwah Halaqat serta Guru Al Quran dan Fardu Ain bagi menyemarakkan dakwah Islami di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Seranta Mohd Asri Mat Daud berkata, pada Belanjawan 2025 elaun Pembantu Dakwah Halaqat dinaik kepada RM300 sebulan.
Manakala guru-guru Fardu Air dan al Quran pula dibayar elaun sebanyak RM270 sebulan mulai tahun hadapan.
“Penambahan elaun tersebut diharap dapat memberi semangat kepada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat bagi meluaskan amal Islami,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang DUN hari ini.
Beliau juga berkata, urusan amal Islami di Kelantan turut diperluaskan kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
Menurutnya JAKIM melantik mualim di Pos Balar, Hau, Pasik, Lojing dan Sigar bagi mendidik Orang Asli yang beragama Islam.
Kata beliau program kelas fardu ain diutamakan kepada anak-anak Orang Asli dengan dua modul yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan.
“Pengimarahan masjid dan surau di setiap pos Orang Asli turut diadakan pada setiap hari kebesaran Islam.
“Selain itu program sukan serta program khidmat masyarakat sering dianjur membabitkan masyarakat terbabit bagi mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan gejala negetif,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berharap tanggungjawab serupa turut dilaksanakan JAKOA selaras dengan objektif ketiga agensi itu memperkasakan modal insan secara konprehensif. – HARAKAHDAILY 25/11/2024