Bila jambatan kekal FELDA Selancar akan dibina?

- Advertisement -

KUANTAN: Kelewatan pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan sementara di FELDA Selancar, Rompin telah mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penduduk.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pada bulan Februari tahun lalu, bencana alam telah menyebabkan jalan utama untuk penduduk gugusan FELDA itu terputus akibat hujan lebat.

“Perkara ini menimbulkan kesulitan besar kepada penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada jalan tersebut untuk aktiviti harian mereka. Sebagai langkah sementara, kerajaan negeri telah membina sebuah jambatan Bailey dengan satu lorong pada Mac 2023.

“Namun, hingga kini, jambatan kekal yang sepatutnya dibina dengan dua lorong masih belum selesai, menunjukkan kegagalan pihak kerajaan memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun jambatan Bailey yang dibina pada Mac tahun lalu memberi sedikit kelegaan, kapasiti satu lorong jelas tidak memadai untuk menampung jumlah kenderaan melintas.

Katanya, terutama semasa musim perayaan atau waktu puncak, kesesakan yang berlaku amat mencabar, memperlihatkan betapa terdesaknya keperluan untuk membina jambatan kekal.

“Kecewa apabila setelah siap jambatan sementara itu, cuma laluan satu lorong sahaja.

“Jambatan satu lorong ini bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas, malah turut memberi tekanan kepada penduduk yang sudah terjejas akibat insiden awal tahun tersebut,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Timbalan Perdana Menteri telah melawat kawasan tersebut untuk menilai keadaan dan memberikan komitmen bagi membina jambatan kekal, sehingga kini masih belum nampak hasilnya.

“Situasi ini mencerminkan kegagalan kerajaan negeri untuk bertindak secara efektif dan segera dalam menangani masalah infrastruktur yang amat penting bagi kesejahteraan rakyat.

“Lebih membimbangkan, ia menunjukkan ketidakcekapan pihak berkuasa dalam merancang dan melaksanakan projek infrastruktur yang mampu menyelesaikan masalah jangka panjang penduduk,” katanya.

Beliau turut menggesa Menteri Besar Pahang dan Exco Kerja Raya Negeri supaya mempercepatkan pembinaan jambatan kekal dengan dua lorong seperti yang dicadangkan.

“Kegagalan membina jambatan kekal ini tidak boleh dipandang ringan. Sebagai sebuah kerajaan sepatutnya bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan asas untuk rakyat.

“Tindakan kerajaan Negeri Pahang yang perlahan ini menunjukkan kelemahan dalam pengurusan dan pelaksanaan projek. Exco Kerjaraya Negeri Pahang seharusnya lebih peka terhadap keperluan penduduk.

“Segera menyelesaikan isu ini dengan pembangunan jambatan yang lebih baik dan kukuh. Selain itu, kegagalan ini turut mencerminkan kekurangan koordinasi antara pihak kerajaan negeri dengan agensi Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah infrastruktur kritikal.

“Seandainya projek ini diberi perhatian lebih serius, penduduk gugusan FELDA tidak seharusnya terus hidup dalam keadaan tidak menentu dengan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk berharap kerajaan negeri dapat memenuhi janji mereka dengan segera demi memastikan kelancaran dan keselamatan kehidupan harian komuniti tersebut.

“Mewakili masyarakat setempat saya mendesak dan Menteri Besar dan juga Exco Kerja Raya yang merupakan ADN Muadzam Shah untuk menyelesaikan dan mempercepatkan pembinaan jambatan kekal ini.

“Kita maklum ada cadangan untuk membina jambatan kekal ini tahun hadapan. Bagi masyarakat setempat sudah hampir 2 tahun terseksa dan berdepan dengan pelbagai risiko.

“Jadi desakan ini amatlah wajar dan diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit ini.

“Jangan sampai ada lagi nyawa yang melayang akibat kelalaian dan sikap acuh tak acuh dalam menyelesaikan isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024