KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah meluangkan masa merasmikan program Digital Terengganu 2024 bertempat di Grand Puteri, di sini kelmarin.
Program yang merupakan inisiatif Datuk Amzad dengan kerjasama D&P Process Services Sdn Bhd ini telah berlangsung selama dua hari bermula Sabtu 23 Nov dan akan berakhir semalam, Ahad 24 Nov.
Penganjurannya bertujuan membantu usahawan-usahawan Terengganu memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan perniagaan mereka, sejajar dengan arus pembangunan ekonomi digital.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Amzad telah menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memperkasakan komuniti usahawan dalam Parlimen Kuala Terengganu khususnya.
Beliau juga berharap di seluruh negeri Terengganu amnya, para usahawan akan lebih berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi menerusi pendedahan kepada aspek digital.
“Program ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan digital di negeri ini. Program ini tidak hanya habis di sini tetapi akan berterusan lagi dengan program pemantauan dan kelas-kelas khas secara atas talian (online).
“Selepas 6 bulan nanti, semoga D&P Process Services Sdn Bhd dapat melaporkan peningkatan jualan peniaga yang hadir. Saya ingin lihat lebih ramai peniaga dari Kuala Terengganu yang berjaya bukan setakat di Terengganu malah di seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.
Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut berharap agar usaha Kerajaan Negeri, bersama syarikat-syarikat seperti D&P ini dapat menghasilkan lebih ramai Hero-hero Digital, melalui inisiatif Digital Terengganu.
“Kita berhasrat menggerakkan rakyat ke arah ekonomi digital, di samping memastikan negeri Terengganu terus melangkah maju untuk mencapai wawasan Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera, InsyaAllah,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa. Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau, Ir Saiful Azmi Suhaili yang juga ADUN Kemasik. – HARAKAHDAILY 25/11/2024