Wanita dilapor hilang ditemui di tepi paya

- Advertisement -

MARAN: Seorang wanita yang dilaporkan hilang di Kampung Bukit Lada awal pagi tadi telah berjaya ditemui selamat selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

- Advertisement -

Nurul Huda Sulaiman, 36, dilaporkan hilang oleh keluarganya kepada Polis Pekan Awah setelah menyedari kehilangan beliau sekitar jam 2.00 pagi.

Pasukan polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi dan memulakan operasi pencarian di sekitar kawasan kampung dengan bantuan ketua kampung dan penduduk setempat.

Pada jam 11.00 pagi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak, turut hadir ke lokasi bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa. (Foto atas)

Ketua Balai Polis Pekan Awah memberikan taklimat bagi memudahkan pencarian kali kedua, diikuti dengan ucapan ringkas daripada Ustaz Mujib dan ketua kampung.

Pencarian dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mujib.

Sekitar jam 11.30 pagi, mangsa ditemui dalam keadaan kaki terlekat dalam selut tepi kawasan paya, kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Mangsa segera dihantar ke Hospital Temerloh untuk pemeriksaan lanjut.

Pihak keluarga mangsa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari, termasuk pasukan polis, APM, Jabatan Amal, ketua kampung, jiran tetangga, dan pemimpin setempat yang memberikan bantuan dan sokongan.

“Alhamdulillah, kakak kami selamat. Terima kasih kepada semua yang membantu,” ujar seorang ahli keluarga mangsa.

Operasi itu sekali lagi menunjukkan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan keselamatan komuniti. – HARAKAHDAILY 24/11/2024