RM5.81j untuk sokong ‘Experience Kedah’ TMK 2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sejajar Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, Kerajaan Negeri menyokong penuh kempen ‘Experience Kedah’ dengan menyediakan peruntukan RM5.81 juta untuk tujuan tersebut.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan itu sebagai dana khas sempena TMK 2025 atas tujuan promosi , pelancongan, program ‘pocket event’, pembaikan serta penyelenggaraan kemudahan pelancongan.

“Peruntukan itu juga termasuk kos membangunkan Galeri Perang Musuh Bisik, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pelancongan dan menaik taraf kemudahan.

“Terutama di pintu masuk taman-taman eko-rimba di seluruh Kedah,”jelas beliau pada pembentangan Belanjawan Kedah 2025, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Selain itu ujarnya, belanjawan kali ini memberi fokus kepada ketersediaan kemudahan dan sokongan untuk Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025 yang akan diadakan bermula 20 hingga 24 Mei tahun depan.

“Selaku tuan rumah, Kerajaan Negeri akan memastikan kelancaran LIMA 2025 berupaya untuk memikat hati pengunjung yang datang ke LIMA untuk datang lagi ke Langkawi.

“Selain itu, kempen menyasarkan Langkawi menjadi Pulau Terbersih akan terus dipergiatkan bagi membangkitkan kesedaran warga tempatan dan pelancong untuk menjaga kebersihan pulau pelancongan antara 10 terbaik di dunia itu,” tambahnya lagi.

Usaha itu kata beliau akan membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Kedah Tourism, SWCorp, E-Idaman serta lain-lain agensi bekaitan.

Beliau juga berharap TMK 2025 akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain industri di semua peringkat untuk membawa seramai mungkin pelancong dari dalam dan luar negara menikmati kelebihan dan keunikan bercuti di Kedah.

Kerajaan Negeri juga katanya, menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 dalam bentuk geran dan bantuan kepada pengusaha inap desa atau homestay, pemandu pelancong dan NGO atau kelab yang menganjurkan program berkaitan. – HARAKAHDAILY 24/11/2024