ALOR SETAR: Semua penjawat awam Kerajaan Negeri Kedah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 setiap seorang bermula Mac depan.
Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2025, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
“Bantuan Khas Kewangan itu akan dibayar dua kali iaitu pada Mac dan Jun tahun hadapan, melibatkan 5,376 penjawat awam Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM12 juta,” jelas beliau.
Bantuan itu kata beliau sebagai menghargai komitmen penjawat awam Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang.
“Saya juga mengakui kesejahteraan negeri Kedah tercinta ini juga adalah atas jalinan kerjasama yang baik antara Exco, ADUN dan Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan Pegawai-pegawai Persekutuan,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, ujar Sanusi lagi, beliau bersyukur setelah pelbagai cabaran diharungi sejak Mei tahun 2020, sokongan dari semua amatlah baik.
“Sungguhpun penambahbaikan dan kemajuan yang telah dicapai tidak diakui oleh pihak pembangkang. Saya yakin rakyat yang sudah semakin matang mampu menilai segala usaha yang dilaksanakan,”katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mewakili Kerajaan Negeri merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan Belanjawan Negara tahun 2025.
Di mana katanya, turut menyentuh manfaat kepada negeri Kedah melibatkan peruntukan projek-projek baru yang akan diselaraskan mengikut keutamaan.
Antaranya, kata beliau, dua projek pembangunan di Daerah Kulim iaitu pembesaran kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim. – HARAKAHDAILY 24/11/2024