Pengalaman orang lama inspirasi perjuangan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghargai dan meneladani pengalaman orang lama dalam perjuangan menegakkan syiar Islam adalah sesuatu yang amat penting.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menggambarkan bagaimana kisah perjuangan mereka menjadi inspirasi kepada generasi masa kini.

Dalam hantarannya, Ustaz Hanif mengimbau kisah arwah guru beliau yang mengajar agama secara sembunyi-sembunyi semasa zaman penjajahan.

Beliau menyatakan bahawa pengorbanan sedemikian harus dihargai kerana ia membuka jalan bagi masyarakat Islam untuk memahami agama.

“Biar mereka tahu Alif Ba Ta dulu, kerana dari situ datang cahaya kehidupan,” kata Ustaz Hanif memetik kata-kata arwah gurunya itu dalam media sosial milik beliau.

Beliau juga menyentuh mengenai tokoh agama tempatan yang berjalan jauh demi menyampaikan ilmu, meskipun dalam kekurangan.

“Apa yang kita tanam hari ini, anak cucu kita akan tuai,” kata tokoh tersebut seperti yang diceritakan oleh nenek beliau.

Selain itu, Hanif turut merujuk perjuangan ulama terdahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau serta Haji Abdul Rahman Limbong yang bukan sahaja mempertahankan tanah air, tetapi juga memastikan hukum Islam terus terpelihara.

Menurutnya, semangat dan kesungguhan mereka menjadi bukti bagaimana keberanian dan keikhlasan mampu membentuk masyarakat yang kukuh.

Hanif mengingatkan bahawa walaupun kini kemudahan seperti masjid dan akses kepada ilmu agama lebih meluas, generasi hari ini perlu menghargainya.

“Namun, adakah kita benar-benar menghargainya? Atau adakah kita mengambil mudah nikmat ini tanpa memikirkan jerih payah orang lama yang telah membuka jalan?

“Perjuangan Islam bukan sekadar tentang perlawanan fizikal; ia adalah perjuangan hati, ilmu, dan akhlak.

“Orang lama telah menunjukkan contoh bagaimana kesungguhan, kesabaran, dan keikhlasan mampu membentuk masyarakat Islam yang kukuh,” ujarnya.

Beliau berkata, generasi hari ini bertanggungjawab untuk meneruskan perjuangan itu dengan cara yang sesuai dengan zaman.

“Bangsa yang besar ialah bangsa yang tidak melupakan sejarahnya,” peringatnya sambil menambah dalam konteks kini, sejarah perjuangan Islam adalah panduan untuk menghadapi cabaran dunia moden tanpa melupakan akar iman.

Beliau menyeru agar masyarakat mendekati tokoh agama atau orang tua di kampung untuk mendengar kisah perjuangan mereka yang kaya dengan pengajaran dan nilai murni.

“Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan tanpa menghargai mereka yang telah membuka jalan.

“Semoga kisah-kisah mereka menjadi inspirasi untuk kita terus menegakkan agama Allah dengan hikmah, semangat, dan keikhlasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

- Advertisement -