Papan tanda: Menteri perlu lebih peka, bertanggungjawab

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Selangor menzahirkan rasa kesal atas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang tidak bersetuju dengan langkah penguatkuasaan papan tanda dwibahasa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

- Advertisement -

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pendekatan itu menunjukkan sikap yang tidak menghargai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Bahasa Melayu adalah simbol identiti negara dan tunjang perpaduan rakyat Malaysia.

Tambahnya, tindakan memastikan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda, khususnya dalam sektor awam, adalah langkah wajar yang selaras dengan aspirasi memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Sebagai seorang menteri, sepatutnya beliau menyokong usaha yang bertujuan memelihara warisan kebangsaan dan memastikan pelancong asing menghormati budaya serta bahasa tempatan.

“Pandangan yang meremehkan penguatkuasaan ini dilihat seolah-olah mengabaikan peranan Bahasa Melayu dalam membentuk jati diri negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, Pemuda PAS negeri ingin menegaskan bahawa penggunaan dwibahasa, dengan keutamaan diberikan kepada Bahasa Melayu, bukanlah satu bentuk diskriminasi, tetapi usaha untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air sendiri.

Katanya, pelancong asing boleh dibantu dengan terjemahan, tetapi asas kepada pembangunan negara tetap bermula dengan menghormati bahasa kita.

“Oleh itu, kami mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk segera menarik balik kenyataan tersebut dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana dasar yang memperkukuhkan martabat Bahasa Melayu.

“Jika tidak, beliau dilihat gagal memahami sensitiviti rakyat dan nilai kenegaraan yang menjadi asas kepada Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/11/2024