HARI INI, 24 November 2024, genap 24 bulan Kerajaan Madani terbentuk. Perdana Menteri Ke-10 (PMX) dan parti Kerajaan Perpaduan mengadakan sambutan 2 tahun pemerintahan mereka. Kemuncak kepada sambutan ini sepatutnya menggembirakan kerajaan jikapun tidak mampu menggembirakan rakyat.
Sepatutnya PMX naik ke pentas untuk menerima hadiah di akhir tahun akademik, yang kebanyakkan sekolah adakan dan dinamakan Hari Anugerah Cemerlang. Namun, yang diharap tidak terjadi.
Pencapaian PMX dan pasukannya dinilai markah ‘D’ oleh BERSIH.
Respon beliau terhadap penilaian itu sekadar menerima dan meluahkan keyakinan bahawa kerajaannya mampu melakukan lebih baik pada masa hadapan. Kata beliau, beliau akan dapatkan A dalam peperiksaan SPM selepas memperoleh gred D dalam peperiksaan yang diibaratkan umpama peperiksaan UPSR bagi murid darjah enam.
Sebenarnya PMX telah menelaah (study) selama 24 tahun untuk matapelajaran “Perdana Menteri” ni. Namun, walaupun beliau belajar selama itu, selepas menduduki peperiksaan selama 24 bulan, yang mampu dicapai hanyalah D.
Markah D yang dicapai PMX ini umpama kata Seniman Negara, Tan Sri P.Ramlee NANG BO TI NANG, KUI BO TI KUI’ (Orang Bukan Orang, Hantu pun bukan hantu), iaitu nak kata berjaya pun tidak, nak dikira gagal pun tidak. Hidupnya terawang-awangan.
Ketika beliau menelaah 24 tahun dahulu, segala formula telah beliau hafal. Bermula dari formula menurunkan harga minyak, memberi Pendidikan percuma, melawan rasuah, tidak bersetuju dengan lantikan politik di dalam GLC serta melawan ketidak adilan dalam pengagihan peruntukan ahli parlimen.
Namun, semuanya ini tidak dapat dijawab PMX dalam peperiksaan 24 bulan sehingga rakyat dan BERSIH yang menjadi pemeriksa tidak tergamak untuk memberikan markah melebihi gred D kepada beliau.
Tak pasti dimana silapnya dengan markah itu yang PMX dan pasukannya dapat.
Adakah beliau sebenarnya hanya berpura-pura belajar belajar selama 24 tahun? Adakah sebenarnya beliau hanya tidur ketika membuka ‘buku’ mata pelajaran tersebut? Atau beliau tersilap memilih ‘study group’, dimana sepatutnya dalam study group ini, setiap ahli berperanan untuk berkongsi pengetahuan agar kesemua mereka akan berjaya dalam peperiksaan.
Mungkin juga, boleh jadi beliau sudah menghafal setiap nota dan isi penting ketika belajar namun ketika dalam peperiksaan beliau telah ‘dilupakan’ setiap jawapan yang dihafal.
Mungkin beliau boleh mengambil inisiatif dengan menghadiri kelas tambahan. Perikatan Nasional boleh mengajar beliau secara teori atau secara praktikal seperti mana tawaran oleh YB Putrajaya kepada YB Kampar dari DAP yang tidak tahu cara berbahas.
DR MUKHTARUDDIN MUSA
Pengarah Penyelidikan dan Media
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 24/11/2024