GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) akan mengambil tindakan segera dalam menangani ‘lubang benam’ sedalam enam meter (m) di Kampung Jek Jok, di sini yang berlaku semalam.
Ketua Whip MDGM, Azman Ahmad berkata, MDGM akan mengambil langkah segera bagi mengatasi perkara tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
“Insya Allah pihak MDGM akan mengambil tindakan segera menangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily pada pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian lubang benam yang berlaku sedalam enam meter yang berlaku di Kampung Jek Jok, Jalan Lojing-Gua Musang kira-kira jam 9:30 pagi semalam.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu di sepanjang jalan berkenaan berikutan insiden tersebut.
Namun, beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan setakat malam tadi, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka melaksanakan kerja baik pulih dalam masa terdekat.
“Saya dimaklumkan jalan terbabit masih dibuka kepada semua pengguna (setakat jam berita ini ditulis), selain JKR memantau rapi kawasan berkenaan dan punca kejadian sedang disiasat,” katanya.
Jalan Lojing-Gua Musang digunakan pengguna jalan raya dari Cameron Highlands dan Lojing Highlands untuk ke Gua Musang.
Selain kereta, laluan itu turut digunakan lori dan kenderaan berat lain yang mengangkut sayur serta pelbagai hasil pertanian dari kedua-dua kawasan tanah tinggi terbabit untuk dipasarkan di Gua Musang serta negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 24/11/2024