TUMPAT: Banjir besar, ribut taufan, tanah runtuh dan sebagainya jangan hanya dilihat sebagai peralihan monsun semata-mata, sebaliknya sebagai ‘amaran’ Allah terhadap manusia di muka bumi.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub berkata, manusia itu sendiri telah melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dunia sama ada melalui kuasa atau dosa-dosa sendiri.
Menurutnya, kerana itu Allah SWT telah menurunkan bala sama ada ianya besar atau kecil melalui banjir, ribut atau sebagainya.
“Sifat rakus manusia yang melakukan perkara yang bersalahan dengan hidup normalisasi, apa lagi jauh menyimpang dari ajaran agama, telah mendapat kemurkaan Allah.
“Hujan lebat di Filipina beberapa hari ini telah menenggelamkan beribu-ribu kediaman di utara Filipina yang dilanda ribut selepas sungai-sungai melimpah disebabkan hujan lebat dan pelepasan air empangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Jamuan Laksa Kutipan Dana Bencana Khidmat Malaysia Tumpat yang diadakan di Padang Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ibadurrahman, Taman SPP Kota Warisan, dekat sini semalam.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, Taufan Man-yi menggenangi kawasan yang luas di Filipina pada hujung minggu lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kelantan sentiasa berdoa dan solat hajat supaya Kelantan tidak dilanda banjir besar apa lagi sebagaimana tahun 2014.
“Mohonlah keampunan sentiasa pada Allah, semoga Dia memberi rahmat, membantu negeri kita dan rakyat Kelantan selamat,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu, Komander Khidmat Malaysia Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Penyelaras Khidmat Malaysia Tumpat, Mohd Adanan Hassan (ADUN Kelaboran), Timbalan Komander, Mohd Rosli Abdullah (ADUN Wakaf Bharu) dan lain-lain pimpinan. – HARAKAHDAILY 24/11/2024