Larangan persembahan hiburan malam Jumaat sejak 1957

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelas aliran tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) berbeza dengan aliran-aliran lain kerana jadual pembelajarannya lebih padat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau dan Digital negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelajar aliran tahfiz mempunyai jadual 24 jam sehari.

Katanya, YIK menjadualkan dalam tempoh 24 jam bagi pelajar aliran tahfiz sehingga menimbulkan kehairanan pihak lain.

“Ada pihak hairan jadual pelajar aliran tahfiz di bawah YIK sehingga 24 jam. Waktu tidur pelajar pun ada dalam jadual,” katanya menjawab soalan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada sidang DUN hari ini.

Wan Roslan juga berkata, guru-guru tahfiz di sekolah YIK disyaratkan perlu lulus hafazan 30 juzuk sebelum mereka layak mengajar pelajar aliran tahfiz.

Kata beliau kelebihan yang ada pada guru-guru tahfiz YIK menyebabkan mereka menerima banyak tawaran daripada pihak-pihak lain.

Menurutnya juga YIK mengadakan perjanjian persefahaman dengan dua universiti di Jordan bagi membolehkan pelajar lepasan sekolah YIK melanjut pengajian di bidang sains, sains komputer dan qiraat.

Beliau berkata, baru-baru ini YIK menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan dengan The World Islamic Science University (WISE) dan Appleid Science University (ASU).

“Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) turut menawar biasiswa khas kepada pelajar tahfiz yang mahu melanjut pengajian dalam bidang perubatan di Mesir,” katanya.

Hilmi Abdullah

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri akan membentang Rang Undang-Undang baharu berkaitan hiburan pada sidang DUN kali ini.

Menjawab soalan Harun Ismail (PAS-Tawang) katanya, larangan persembahan hiburan pada setiap malam Jumaat dikuatkuasa pada 1957 seperti yang terkandung dalam Government of Kelantan Gazette.

Katanya garis panduan itu menetapkan larangan persembahan hiburan bermula jam 6 petang Khamis sehingga 6 petang hari Jumaat.

Begitu juga larangan persembahan hiburan  sepanjang bulan Ramadan dan hari-hari kebesaran dalam kalendar Islam. – HARAKAHDAILY 24/11/2024