KOTA BHARU: Lebih 800 pengunjung terdiri dari lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta ibu bapa masing-masing menghadiri program KIAS EduFair 2024.
Program anjuran Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) itu merupakan sebuah acara pameran pendidikan berskala sederhana.
Ia bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan di KIAS.
Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan KIAS, Dr Nurul Akma Mohamed berkata, penganjuran ini sejajar dengan usaha membantu pelajar yang sedang mencari tempat untuk melanjutkan pengajian mereka.
Terutamanya kata beliau, melibatkan lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Asasi, Diploma atau kelayakan setaraf.
Menurutnya, pendidikan tinggi bukan sahaja mengenai kelayakan akademik, tetapi juga platform untuk pembangunan sahsiah dan potensi diri.
“Ini selaras dengan dasar kerajaan negeri iaitu Membangun Bersama Islam yang berteraskan Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan serta penerapan Dasar Pendidikan Rabbani.
“Pada masa yang sama ia turut memberi fokus kepada peluang pendidikan tinggi di KIAS meliputi program asasi, diploma, sarjana muda dan sarjana dalam bidang pengajian Islam dan pengurusan perniagaan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KIAS EduFair 2024 di Dewan Johor, KIAS dekat sini semalam.
KIAS EduFair 2024 turut dimeriahkan dengan penglibatan agensi-agensi utama seperti Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Juga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Rakyat serta lain-lain agensi berkaitan yang menyediakan maklumat mengenai biasiswa, pembiayaan pendidikan serta kerjaya.
Selain itu, pengunjung juga dapat menghadiri sesi perundingan pendidikan dan mendengar perkongsian pengalaman daripada alumni yang pernah menimba ilmu di KIAS.
“Program seperti ini penting untuk memberikan pendedahan awal kepada bakal pelajar tentang laluan pendidikan dan peluang kerjaya yang tersedia.
“Kami berhasrat untuk terus menjadikan KIAS sebagai institusi pendidikan tinggi pilihan di Malaysia,” katanya lagi.
KIAS juga katanya, merancang akan menjadi acara tahunan yang menyediakan platform menyeluruh untuk pelajar, guru, dan ibu bapa untuk pendidikan tinggi dan kerjaya pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 24/11/2024