Kerjasama tingkat kualiti makanan halalan toyyiba

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan memperkukuh kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan JAKIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meningkatkan mutu dan kualiti makanan dalam aspek halalan toyyiba dan keselamatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pengesahan halal Malaysia dikelaskan mengikut lapan kategori iaitu produk makanan, minuman, makanan supplement.

Selain itu premis makanan, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, rumah sembelih, farmaseutikal, pengilangan kontrak dan dapur hotel.

“Sebanyak 439 premis makanan di Kelantan mendapat persijilan halal berdasar statistik Pengesahan Sijil Halal Malaysia (SPHM) Kelantan setakat Oktober 2024,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada sidang DUN hari ini.

Menjawab soalan tambahan Mohd Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir) katanya, bilangan perniagaan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Kelantan sebanyak 339.

Jumlah tersebut meliputi Kota Bharu sebanyak 186, Tumpat (23), Bachok (20), Tanah Merah (16), Machang (28), Pasir Mas (22), Pasir Puteh (23), Kuala Krai (8), Gua Musang (7) dan Jeli (6).

Menurutnya juga pihak berkuasa negeri berusaha memastikan premis makanan dan produk lain mematuhi piawaian persijilan halal dengan melaksanakan pemantauan ke atas pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara berkala.

Selain itu mengeluarkan notis ketidakakuran ke atas pemegang SPHM yang tidak mematuhi prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

“Menggantung atau menarik balik SPHM ke atas pemegang SPHM yang melakukan kesalahan serius atau besar.

“Bekerjasama dengan JAKIM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melaksanakan operasi dan pemeriksaan mengejut ke atas pemegang SPHM,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -