KOTA BHARU: Kerajaan negeri yakin mencapai sasaran kedatangan 10 juta pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, sasaran itu berdasar jumlah kemasukan pelancong melalui tiga pintu sempadan sehingga sekarang lebih tiga juta.
Katanya, jumlah itu berdasar sumber daripada Jabatan Imigresen melalui tiga pintu sempadan di Kelantan iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.
Kata beliau jumlah itu tidak termasuk lagi kedatangan pelancong menggunakan perkhidmatan bas dan kapal terbang.
“Berdasar data sebelum ini terdapat 140 trip bas ekspress yang masuk Kelantan setiap hari, manakala pesawat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pula 37 kali sehari.
“Apa pun kita tunggu laporan rasmi mengenai jumlah kedatangan pelancong ke Kelantan yang akan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Shahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan DUN hari ini.
TMK 2024 menekankan konsep 3F iaitu ‘family’, ‘food’ dan ‘festival bagi menggalakkan pelancong datang bersama keluarga ke Kelantan.
Kerajaan negeri juga menyusun lebih 30 program dalam kalendar TMK 2024 bagi menarik kehadiran pelancong.
Kamarudin juga berkata, tempat tumpuan pelancong termasuk Pasar Borong Wakaf Che Yeh akan dipertingkatkan kemudahan asas.
Kata beliau biar pun Pasar Borong Wakaf Che Yeh tidak lagi semeriah dahulu selepas kerajaan pusat mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Baru Tunjong, namun ia tetap lokasi tumpuan pelancong.
Menurutnya juga kerajaan negeri mendapat kerjasama Kementerian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosi tempat pelancongan menarik di Kelantan kepada pelancong luar negara.
“Sebelum ini kita kurang mendapatkerjasama daripada MOTAC, namun sekarang alhamdulilah kerjasama semakin rapat, malah misi promosi pelancongan tahun hadapan turut dilibat Kelantan.
“Kita merakam ucapan terima kasih kepada MOTAC kerana memberi peluang Kelantan menyertai misi menarik pelancong melalui pelbagai program di luar negara tahun hadapan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024